Thursday, 22 September 2011

Amalan Gaya hidup Sihat

..Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.
..........
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
.
..........
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.
.
..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.
..........
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
...........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
...........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

Kepentingan Bahasa Inggeris

Kepentingan Penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan.


............Menjelang tahun 2003, bahasa Inggeris telah mula digunakan dalam pendidikan di Malaysia. Sistem ini dimulakan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar untuk mata pelajaran sains dan matematik. Pelaksanaannya dijalankan secara berperingkat-peringkat yang dimulakan kepada pelajar tahun 1 serta pelajar tingkatan 1. Beberapa tahun kemudian, semua pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pendidikan sains dan matematik. Biarpun program ini diliputi dengan pelbagai kontravesi namun tindakan kerajaan melaksanakan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan memberi pelbagai kebaikan.

............Antara faedah menguasai bahasa Inggeris dalam pendidikan adalah bagi membolehkan pelajar menguasai isi pelajaran yang kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, memandangkan beberapa mata pelajaran penting seperti sains, matematik, teknologi maklumat dan sebagainya menggunakan bahasa Inggeris maka kegagalan pelajar menguasai bahasa ini akan melemahkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran yang disebutkan tadi. Pepatah Melayu pernah menyebut, “kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya”. Begitulah juga halnya, jika penggunaan bahasa Inggeris tidak dimulai dari sekarang, selagi itulah para pelajar akan ketinggalan dalam mata pelajaran tersebut. Justeru, penggunaan bahasa Inggeris adalah amat perlu dikuasai agar para pelajar dapat memperoleh ilmu npengetahuan yang kebanyakannya hanya dapat diperoleh melalui kemahiran berbahasa Inggeris.

............Selain itu, bahasa Inggeris juga penting dalam pendidikan di negara kita selaras dengan objektif pendidikan yang ingin melahirkan individu yang mampu bersaing dalam dunia global. Penguasaan bahasa inggeris yang dimulakan dari sekolah mampu melahirkan individu yang dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan individu lain dari seluruh dunia. Sebagai contohnya, kemahiran berbahasa Inggeris amat penting apabila seseorang individu ditugaskan di luar Negara atau membawa misi negara di luar negara. Kegagalan berkomunikasi dengan berkesan menggunakan bahasa Inggeris akan menjejaskan pelbagai peluang baik berupa peluang ekonomi mahupun sosial. Jelasnya, pendidikan bahasa Inggeris di peringkat sekolah mampu melahirkan individu yang “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan masyarakat lain di seluruh dunia.

............Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan juga penting kerana dengan penguasaan bahasa tersebut para pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan baik dapat berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Memandangkan bahasa Inggeris telah diterima sebagai bahasa antarabangsa, kebanyakan universiti teragung di seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Jika seseorang pelajar dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik maka peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah lebih cerah. Sebagai contohnya, institusi pendidikan swasta seperti kebanyakan institusi pendidikan swasta di negara kita juga telah mengimplementasi penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar mereka di institusi pendidikan tinggi swasta. Oleh yang demikian, para pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi perlulah menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

............Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga penting kepada para pelajar bagi tujuan mendapatkan pekerjaan pada masa depan. Perlu diingat bahawa majikan akan lebih tertarik untuk mengambil pekerja yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa termasuklah berbahasa Inggeris. Sebagai contohnya, pekerjaan dalam bidang telekomunikasi, penyiaran, teknologi maklumat dan sebagainya amat memerlukan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh itu, lepasan sekolah atau universiti yang mahir berbahasa Inggeris lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Tambahan pula, mereka yang mahir berbahasa Inggeris lebih diminati oleh majikan dari syarikat-syarikat besar yang biasanya menawarkan pendapatan lebih lumayan. Jelasnya, bahasa Inggeris amat penting dipelajari di sekolah demi memanfaatkan pelajar bagi tujuan membina kerjaya pada masa yang akan datang.

______Sementara itu, kemajuan ekonomi negara yang telah melepasi sempadan negara, mengakibatkan Malaysia memerlukan penduduk yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik agar dapat bersaing dengan mereka dari seluruh dunia. Pendidikan bahasa Inggeris amat penting bagi melahirkan masyarakat yang dapat berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa. Sebagai contohnya, perkongsian dalam bidang ekonomi, sosial mahupun bidang teknologi memerlukan mereka yang mahir berbahasa Inggeris. Umumnya, mereka yang gagal menguasai bahasa ini akan berdepan dengan pelbagai rintangan yang dapat mengganggu komunikasi serta boleh menggagalkan peluang yang tersedia pada peringkat antara bangsa. Justeru, pendidikan bahasa Inggeris di sekolah berperanan membina masyarakat yang lebih berdaya saing pada peringkat global suatu hari nanti.

______Intihanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua pelajar. Seseorang yang dapat menguasai bahasa ini akan lebih berkeyakinan dan mampu merebut peluang yang tersedia sama ada pada peringkat nasional atau pada peringkat antara bangsa. Namun begitu, biar bagaimana penting sekalipun bahasa Inggeris ini digunakan oleh masyarakat antarabangsa namun penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara amat perlu dipertahankan dan dipertingkatkan martabatnya. Kita tidak mahu bahasa rasmi kita pupus akibat kelalaian kita mengagungkan bahasa Inggeris umpama kata pepatah Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”.
..

Surat Tidak Rasmi

...........................................................................................Sugintut A/L Kelekathu
...........................................................................................No. 4, Jalan Cheras Raya,
...........................................................................................Taman Cheras Perdana,
...........................................................................................56200 Kuala Lumpur.
...........................................................................................26 Julai 2008.


.................Kehadapan sahabatku yang sentiasa diingati, Saudara Micheal J. Pundiek, yang kini berada di , India. Saya berharap agar saudara sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat bersama-sama dengan keluarga saudara.

Saudara Micheal,
................Bagaimana keadaan saudara di sana sekarang? Untuk makluman saudara, saya dan keluarga saya di Kuala Lumpur sihat seperti biasa. Pada masa ini, saya agak sibuk dengan pelajaran saya kerana Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal saya duduki semakin hampir. Setiap hari saya terpaksa pulang lewat ke rumah kerana menghadiri kelas tambahan yang diadakan di sekolah saya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Saya percaya mampu untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Walau bagaimanapun saya memohon agar saudara mendoakan saya supaya lulus dengan cemerlang.

Saudara Micheal,
.................Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk memberitahu saudara tentang penyakit berjangkit yang sedang melanda negara saya. Penyakit yang saya maksudkan tersebut ialah Selesema Babi atau dikenali juga dengan nama Selesema H1N1. Penyakit ini amat ditakuti oleh orang ramai kerana masih belum ada sebarang vaksin yang ditemui dan mampu mengubatinya. Setakat ini, dalam tempoh sebulan sahaja penyakit tersebut menyerang Malaysia, sudah hampir 200 orang yang telah menjadi mangsa. Namun begitu, sehingga hari ini saya mampu bersyukur kerana belum ada lagi mangsa yang terkorban. Malah negara jiran kami iaitu Singapura dan Thailand turut mencatatkan jumlah mangsa yang lebih besar iaitu melebihi 1000 orang.

.................Untuk pengetahuan saudara, Selesema Babi merupakan penyakit yang berasal dari Maxico di Amerika Selatan. Penyakit tersebut merebak ke negara saya melalui pelancong asing yang datang ke Malaysia dari tempat tersebut. Menurut doktor, mangsa yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami simptom seperti demam biasa. Walau bagaimanapun, demam yang dialami akan berpanjangan diikuti dengan sakit kepala serta sakit di seluruh badan yang keterlaluan. Sekiranya mangsa tidak mendapat rawatan yang sewajarnya, penyakit ini boleh membawa maut. Memandangkan penyakit ini mudah merebak, kerajaan di Malaysia telah mengambil langkah drastik bagi mengekang penyakit tersebut daripada terus menular, bak kata pepatah Melayu “sediakan paying sebelum hujan”.

Saudara Micheal,
..................Antara langkah awal yang telah dilaksanakan adalah dengan mengkuarantinkan orang ramai yang pulang dari luar negara terutamanya dari negara-negara seperti Maxico, Amerika Syarikat, Australia dan Indonesia. Hal ini disebabkan kebanyakan mangsa yang terdapat di Malaysia ialah mereka yang baru balik dari negara tersebut. Pelancong asing dari negara tersebut juga tidak terkecuali menjalani kuarantin dan pemeriksaan doktor sebelum dibenarkan berada di Malaysia. Semua penumpang yang menaiki kapal terbang juga turut dinasihati supaya menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan bahawa mereka bukan pembawa virus ini. Saya berasa tindakan ini agak berkesan dan sesuai sebagai satu cara untuk mengekang penularan viris H1Ni ke Malaysia kerana “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”.

..................Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia juga turut menutup beberapa buah sekolah apabila mendapati ada beberapa orang pelajar di sekolah berkenaan dijangkiti virus berbahaya ini. Di Kuala Lumpur sahaja, empat buah sekolah telah ditutup selama seminggu bagi tujuan tersebut. Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Jalan Delima, Sekolah Antarabangsa Sri Perdana, Sekolah Menengah Tsun Jin dan Sekolah Menengah Seri Mutiara. Semua warga sekolah termasuk para pelajar dan guru-guru di sekolah berkenaan turut dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus tersebut. Walaupun ada sesetengah pihak menentang usaha murni kerajaan itu, namun langkah ini amat berkesan bagi mengelakkan penularan virus H1N1 daripada terus berlaku.

Sahabatku Micheal,
....................Selain itu, kerajaan Malaysia juga telah mengadakan kempen kesihatan dan penjagaan kebersihan diri. Kempen ini telah disebarluaskan melalui pelbagai media massa seperti surat khabar dan televisyen. Untuk makluman saudara, kempen ini diadakan dengan tujuan menyedarkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan diri agar terhindar daripada virus tersebut. Orang ramai juga dinasihati agar memakai topeng serta membasuh tangan dengan bersih selepas batuk atau bersin. Mereka juga turut disarankan agar tidak berkunjung ke tempat awam sekiranya tidak ada sebarang sebab yang perlu untuk berbuat demikian. Bagi membantu orang ramai mengatasi kebimbangan mereka terhadap virus ini, kerajaan juga telah membekukan cuti kakitangan hospital malah perkhidmatan hospital awam dilanjutkan selama 24 jam sehari. Dengan cara ini, wabak H1N1 dapat dikekang daripada terus merebak.

Saudara Micheal,
....................Memandangkan telah panjang lebar saya menulis dalam warkah saya pada kali ini, saya memohon untuk mengundur diri. Semoga kita dapat bertemu lagi dalam bingkisan yang akan datang. Jangan lupa untuk menyampaikan salam saya kepada keluarga saudara terutamanya kepada adik saudara Micheal J. Kuthupalar. Akhir kata, saya juga memohon kemaafan andainya ada kata-kata saya yang menyinggung hati saudara.
...................Sekian, terima kasih.


........................................................................................Sahabatmu yang jauh,
...............................................................................................SugintutKelekathu.