Saturday, 15 October 2011

KARANGAN PERBINCANGAN

BAIK BURUKNYA TINGGAL DI ASRAMA
   Asrama ialah bangunan tempat tinggal para pelajar sekolah atau universitiatau institusi pendidikan yang lain. Ada sekolah berasrama penuh iaitu kesemua pelajar tinggal di asrama. Ada juga sekolah harian yang berasrama, yakni asrama dikhaskan kepada pelajar yag tinggal jauh dari sekolah.
   Rata-rata ibu bapa amat berminat menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh kalau terpilih dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Pelajar-pelajar juga suka tinggal di asrama.
   Baiknya tinggal di asrama itu memang banyak. Yang pertama segala-galanya menurut peraturan dan undang-undang yang ketat. Pagi-pagi lagi sudah bangun dan solat Subuh berjemaah. Sarapan, makan tengah hari dan malam ada waktunya. Ada masa untuk belajar dan ada masa untuk bermain. Ini menjadikan pelajar berdisiplin dan menghargainya.
   Pelajaran tidak terganggu kerana ada sesetengah pelajar sekolah harian yang terpaksa membantu keluarga setelah pulang. Banyak masa terbuang begitu sahaja dalam perjalanan berulang-alik antara sekolah dengan rumah. Gangguan seperti ini tidak berlaku kalau tinggal di asrama.
   Interaksi sesama rakan berlaku sepanjang masa, baik di kelas mahupun asrama. Dengan perbincangan dalam kumpulan bili-bila sahaja dapat diatur demi kepentingan bersama. Pelajar dapat bertukar-tukar fikiran apabila berbincang dalam kumpulan.
   Keburukan tinggal di asrama juga ada. Interaksi dan kemesraan antara ibu bapa dengan anak-anak mula renggang kerana tinggal berjauhan. Lama-kelamaan, murid akan melebihkan kawan daripada keluarga sendiri. Misalnya, pada waktu cuti panjang, mereka tidak pulang ke rumah.
   Asrama juga menyebabkan pelajar mementingkan diri sendiri. Pelajar seperti ini terlalu menumpukan perhatian pada pelajaran, sehingga tidak mempedulikan rakan-rakan. Asrama juga menyaksikan pelajar nakal yang suka membuli pelajar lain sehingga berlaku pergaduhan.
   Tinggal di asrama ada baik dan buruknya. Terpulanglah kepada pelajar untuk membuat pertimbangan bijak memilih yang baik daripad yang buruk. Pelajaran ditatang tapi jangan sampai melupai ibu bapa sendiri. 

No comments:

Post a Comment