Thursday, 22 September 2011

berakit rakit ke hulu, berenang renang ke tepian, bersakit sakit dahulu, bersenang senang kemudian

 Yugen seorang remaja kampung yang miskin. Yugen mempunyai enam orang adik-beradik dan dia adalah anak sulung. Pada tahun ini, dia akan menduduki peperiksaan PMR. Yugen adalah tulang belakang keluarganya.  
     Ayahnya, Encik Sivananthan menghidap penyakit kronik. Encik Sivananthan tidak dapat bekerja dan hanya terlantar di atas katil. Dengan keadaan yang sedemikian, Yugen tiada pilihan melainkan harus bekerja sambil belajar untuk menampung kehidupan keluarganya. Yugen sanggup bekerja sebagai pembantu kedai runcit yang letaknya berhampiran dengan rumahnya dan perlu bekerja setiap hari, setelah selesai waktu persekolahan. Upah yang diterima cukup sekadar menampung kehidupan keluarganya,tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun, dia tetap bersyukur diterima bekerja dan menggunakan tulang empat keratnya demi keluarga dan masa depannya.  
     Yugen tidak pernah menyusahkan ibu bapanya, malahan dia begitu menyayangi keluarganya. Walaupun dia dan keluarganya  
harus menempuh hidup yang susah dan sukar setiap hari, namun dia tetap tidak berputus asa dan sentiasa berharap untuk mendapat 8A dalam PMRnya, dan ia akan menjadi satu kenyataan. Yugen berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh  
agar dapat menolong keluarganya dan berharap pada suatu hari nanti, dia juga mampu membantu orang-orang yang susah sepertinya.  
     Yugen tidak suka membazirkan masa. Pada masa lapang, dia akan mencari ruang dan peluang untuk mengulangkaji pelajarannya. Di dalam kelas, dia memberi penumpuan sepenuhnya sewaktu cikgu mengajar. Dia juga tidak sekali-kali membuangkan masanya dengan aktiviti yang tidak berfaedah, seperti sesetengah remaja seusia dengannya yang gemar lepak dengan rakan-rakan sebaya.  
     Setelah tiba hari yang dinanti-nantikannya, keputusan PMRtelah diumumkan. Dia telah ke sekolah dengan harapan agar pulang dengan keputusan yang cemerlang. Semasa keputusan diumumkan, Yugen telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekolah dengan keputusan cemerlang 8A dalam PMRnya. Yugen tidak henti-henti menerima ucapan tahniah daripada guru-guru dan rakan-rakan sekolahnya. Hatinya melonjak-lonjak kegembiraan. Hanya tuhan sahaja yang mengetahui perasaanya pada masa itu.  
     Akhirnya, Yugen pulang dengan wajah dan senyuman yang begitu ceria dan berita gembira itu disambut dengan airmata kegembiraan, terutamanya kedua ibu bapa Yugen. Pada Yugen, segala usaha dan kerja kerasnya serta berkat sabar selama ini dan tanpa mengenal penat, akhirnya membawa satu kejayaan pada dirinya, bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.      
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment